Wednesday 18 May 2011

ubah lelaki jadi wanita



AIR walaupun sangat penting kepada tubuh manusia boleh bertukar racun memberi mudarat dengan bermacam cara.
Sebagai contoh, air bersih yang diminum menggunakan bekas plastik yang mengandungi bahan kimia Bisphenol A (BPA) dan Nonyphenol mampu menjejaskan kesihatan bahkan mengganggu sistem hormon.
Profesor Madya Mohamad Pauzi Zakaria dari Jabatan Sains Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, salah satu daripada topik global yang sedang dibincangkan para saintis adalah bahan yang terkandung dalam bekas minuman plastik.
“Terdapat dua jenis bahan di dalamnya iaitu BPA dan Nonylphenol.
“Dua bahan itu digunakan untuk membuat bekas minuman seperti botol susu bayi kerana ia membuatkan plastik menjadi kuat dan tidak rapuh.
“Namun, ia memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia bahkan mampu menukarkan hormon di dalam badan manusia,” katanya.

BPA
Dakwanya, BPA dan Nonylphenol dikatakan lebih berbahaya terhadap lelaki kerana ia boleh menukar ciri lelaki kepada ciri wanita.
“Struktur molekul BPA dan Nonylphenol hampir menyerupai hormon yang terdapat dalam tubuh manusia.
“Jika manusia minum air menggunakan bekas plastik yang mengandungi BPA dan Nonylphenol, dua bahan ini akan menghapuskan hormon manusia sedia ada,” ujarnya.
Sebagai contoh, Pauzi berkata, jika seorang ibu minum bahan BPA dan Nonylphenol dan kemudian menyusukan anak lelakinya, bahan tersebut akan berpindah ke dalam tubuh anak lelakinya.
Secara tidak langsung, anak lelaki tersebut akan bertukar kepada ciri kewanitaan apabila dewasa kelak.
Menurut Pauzi, kajian di Tasik Apopka, Florida, Amerika Syarikat mendapati seekor buaya jantan yang terdedah kepada kedua-dua bahan itu akibat pembuang plastik di tasik tersebut telah bertukar secara perlahan menjadi buaya betina.
“Kajian pada tahun 1999 di Scandinavia pula menunjukkan ramai belia lelaki yang berumur 18 tahun secara perlahan memiliki sifat kewanitaan.
“Ini disebabkan kekerapan mereka terdedah kepada dua bahan tersebut.
“Lelaki yang sihat biasanya memiliki sebanyak 60 juta sperma untuk setiap mililiter.
“Malangnya, belia lelaki yang terdedah kepada dua bahan ini hanya memiliki sebanyak 20 juta sperma setiap mililiter,” katanya.
Selain isu pencemaran bekas minuman, sumber air yang diminum juga berupaya mendedahkan manusia kepada risiko penyakit kanser.

“Air yang tidak dirawat mengandungi pelbagai bahan berbahaya seperti nitrat, arsenik, mikroorganisma dan bahan kimia daripada racun perosak.
“Setelah air di empangan memasuki pusat pemprosesan air, kebanyakan bahan itu berjaya dihapuskan.
“Klorin yang digunakan turut membantu menghapuskan bakteria.
“Begitupun, jika air yang telah diklorin itu bertembung dengan sisa organik seperti air kencing, ia akan bertindak balas dengan klorin dan menghasilkan Trihalomethanes (THM) iaitu bahan karsinogenik yang boleh menyebabkan kanser,” kata Pauzi.

Klorin
Jelas Pauzi yang berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang Sains Alam Sekitar, kandungan klorin yang terdapat pada sumber air minuman bagaimanapun tidak terlalu banyak.
Sebaliknya, kata beliau, tempat paling berisiko adalah di kolam renang kerana kandungan klorinnya tinggi.
Mengulas lanjut, Pauzi memberitahu, THM wujud di dalam kolam renang jika terdapat ramai individu yang mandi di situ.
Jika salah seorang daripada mereka membuang air kecil atau najis yang merupakan sisa organik, ia akan bertindak balas dengan klorin lantas menghasilkan THM.
“Walaupun kandungan THM itu rendah, jika tersentuh atau diminum, kita boleh mendapat kanser dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Jurnal.
Disebabkan itu, kata Pauzi, Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (USEPA) telah mengharamkan rawatan air minuman menggunakan klorin.
Katanya, ada dua cara rawatan air tanpa klorin iaitu dengan menggunakan teknologi osmosis balikan (RO) dan ultra violet.
Ironinya, menurut Pauzi, kebanyakan negara masih mengekalkan rawatan klorin kerana ia murah.
Bercerita lebih lanjut, menurut Pauzi yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Saintis Muslim Malaysia, terdapat banyak punca pencemaran air yang boleh menjejaskan kesihatan manusia.

No comments:

Post a Comment